Friday, January 14, 2011

~MENILAI KEMBALI CINTA~





Apabila berbicara tentang cinta, maka akan segera terbayang hubungan pasangan kekasih yang rindu merindui, mengambil berat antara satu sama lain, saling menyayangi dan bermacam2 lagi perasaan yang menyeronokan.

Semua itu dirasakan terlalu indah sehingga mengakibatkan terabai banyak perkara, terbuai dengan angan2, malah tidak lagi berpijak di bumi yang nyata. Hakikat ini memang berlaku dek kerana bahana cinta yang tidak terkawal.

Dalam sesetengah kes, kita melihat orang yang dikatakan dilamun cinta hidup dalam dunia yang dicipta sendiri tanpa mempedulikan orang lain. Dalam dunia itu hanya ada dia dan pasangannya. Dunia itu dipenuhi khayalan2 mempesonakan lantas membuat penghuninya terleka sama sekali. Kelekaan itu lazimnya datang bersama kekacauan jiwa, rasa tidak tenteram atau dalam istilah popular dikatakan makan tak kenyang, mandi tak basah dan tidur tak lena. Adakah benar itu cinta?

Fenomena ini dapat dilihat di mana2 sahaja terutama di tempat2 yang mudah berlaku pergaulan ala2 bebas antara si teruna dengan si dara seperti universiti, kolej dan termasuklah sekolah. 

Saya sendiri mempunyai agak ramai teman yang ikut tenggelam dalam fenomena ini. Sejak di bangku sekolah sampailah ke universiti budaya yang cukup popular disebut ‘couple’ begitu berleluasa.

Bagaimana agaknya sikap yang perlu diambil untuk berhadapan dengan fenomena ini? Berkenaan dengan hukum syarak rasanya ramai telah sedia maklum. Tetapi reaksi kebanyakan mereka yang terjebak juga turut tersedia maklum apalagi ‘couple’ tegar yang seolah2 tak makan saman. 

Agak sukar untuk menjelaskan hakikat sebenar kepada mereka yang mabuk dalam dunia cinta kononnya.Tetapi apabila difikirkan tugas menyampaikan kebenaran yang perlu dilaksanakan, maka tidak dapat tidak kena disampaikan juga sekalipun pahit. Sememangnya begitulah tugas kita kerana yang dituntut bukanlah sama ada orang itu berjaya diubah atau tidak, tetapi dituntut supaya kita berusaha merubahnya.

Memang sukar hendak membayangkan kehangatan perasaan cinta yang melanda tetapi itu bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan alasan. Perasaan yang tentunya menghadirkan resah gelisah sehingga adakalanya gagal dikawal. Ada ketika hendak menangis menanggung beban cinta, ada ketika tersenyum sendiri. Namun, apalagi yang dapat dikatakan selain bersabar terhadap dorongan perasaan itu?

Bersabar daripada melakukan dosa adalah satu mujahadah yang dijanjikan pahala atasnya. Oleh itu, bersabarlah walaupun hati menjerit mahu berjumpa dengannya, walau batin berteriak mahu menghubunginya, walau akal sempit mengatakan dialah cinta sejatimu, walau diri amat mencintainya dan tidak dapat melupakannya walau sesaat pun, bersabarlah!

Mohonlah kepada Allah Taala agar Dia tidak membolak balikkan hati, agar ditunjukkan jalan yang benar, landasan yang lurus dan hati yang mampu melihat jalan kebenaran dan dapat membezakan antara yang baik dengan buruk.

Daripada Kekasih kepada Kekasih

Bukti cinta adalah menginginkan kebaikan kepada orang yang dicintai. Kalau boleh kita ingin menjadi penyelamatnya daripada segala malapetaka dan bahaya. Setujukah? Jika ya, dimanakah cinta ketika si dia mengajak kepada maksiat seperti keluar berdua, makan berdua dan segala macam yang dilakukan berdua-duaan? Padahal semua maksiat itu mengundang celaka di dunia dan neraka di akhirat? Adakah si kekasih sanggup menjerumuskan kekasihnya ke dalam neraka?

Sungguh ramai yang terperangkap dalam jerat ini. Dia merasakan cintanya agung dan suci. Tetapi dia tidak sedar, sebenarnya ketika itu dia tidak mencintai. Hakikatnya, dia pun tidak dicintai. Dia menghumban pasangannya ke neraka sementara pasangannya juga menghumbannya ke neraka. Cinta yang bagaimanakah itu?

Mungkinkah ada yang beralasan sekadar untuk membahagiakan pasangan sebagai tanda pengorbanan? Semua itu rekaan nafsu sahaja. Dia berkorban supaya dia dicintai. Bukankah itu mementingkan diri? Dia mencintai pasangan untuk memuaskan hatinya. Itukah cinta?

Cinta yang sebenar adalah cinta yang sampai ke akhirat. Apa guna cinta di dunia sahaja, kemudian di akhirat bermusuhan. Masing-masing saling menyalahkan. Manusia akan menyalahkan manusia lain kerana mengheretnya melakukan dosa. Mak & ayah akan menyalahkan anak2 kerana dosa anak2 terpalit pada diri mereka. Anak2 pula akan mendakwa mak & ayah kerana tidak menjaga dan mendidik mereka dengar benar. Suami akan menyalahkan isteri kerana tidak taat kepada Allah Taala. Isteri pula akan mendakwa suami kerana meninggalkan amanah mentarbiyah keluarga. 

Di sana, tidak bermakna langsung cinta yang sering diperkatakan manusia. Cinta mereka tidak sampai ke akhirat. Tertinggal di tepian kubur, kemudian lenyap begitu sahaja.

Daifnya cinta sedemikian. Syaitan menghiasi cinta daif itu kelihatan agung. Tinggi melangit, bulan bintang menjadi saksi, sanggup mendaki gunung tinggi, merentas lautan api kononnya. Hendak mengharungi neraka bersamakah?

Analogi cinta sebagaimana iman, tersembunyi dalam hati, terbukti dengan kata dan perbuatan. Cinta perlu difahami sebagai rasa kasih sayang yang penuh rasa hormat, tanggungjawab, kesetiaan, keikhlasan, bermaruah dan ada matlamat. Sebagaimana kita memahami istilah cinta kepada Allah, nabiNya dan ibu bapa, maka begitu juga cinta kepada si dia walaupun kriteria cinta2 tersebut berbeza. Adalah sesuatu yang tidak wajar jika kita memahami cinta kepada si dia dengan pemahaman yang songsang.

Bagaimana mungkin kita mengatakan cinta kepada Allah/ nabiNya/ ibu bapa adalah sekian2 sementara cinta kepada si dia berada di sisi yang bertentangan sama sekali. Jika demikian begitu adakah ia masih layak diistilahkan cinta?

Pandulah Dengan Iman & Ilmu

Sesungguhnya Allah Taala telah menganugerahi manusia dengan beberapa naluri (ghara’iz) antaranya gharizah al-baqa’ (naluri untuk meneruskan/ mempertahankan kehidupan), gharizah al-tadayyun (naluri untuk menyembah/ beragama) dan gharizah an-nau’ (naluri berpasangan). Dengan naluri2 tersebut manusia menjalani kehidupan di muka bumi dengan sebahagiannya berjaya menggunakan naluri2 itu pada jalan yang benar sesuai dengan fitrah manakala sebahagian yang lain ada yang tersesat.

As Sheikh Taqiyuddin An Nabhany dalam buku Sistem Pergaulan Dalam Islam menyatakan pemahaman mengenai gharizah an-nau’ dan tujuan penciptaannya mesti difahami setiap lelaki dan wanita. Perkara tersebut memberi kefahaman yang betul mengenai gharizah yang telah diciptakan Allah iaitu membataskan naluri tersebut pada hubungan lelaki dan wanita atau sebaliknya serta memfokuskan hubungan itu pada tujuan penciptaan gharizah an-nau’ iaitu untuk melahirkan keturunan manusia. Kefahaman inilah yang akan dapat mewujudkan pemuasan naluri dan mewujudkan tujuan diciptakan naluri itu seterusnya mewujudkan ketenteraman dalam masyarakat.

Islam menyediakan jalan penyelesaian dalam segala perkara, maka merujuklah padanya. Bukankah kita orang yang menyakini Islam sebagai cara hidup? Tidaklah patut kita mengambil Islam dalam sebahagian perkara sementara meninggalkannya pada sebahagian yang lain. 

Sikap kita adalah ‘kami dengar & kami taat’ terhadap semua perkara yang datang daripada Allah dan rasulNya. Tidak ada pilihan lain. Masalah cinta kepada si dia juga tidak terkecuali. Saya tidak ingin menghurai panjang lebar di sini kerana ia memerlukan kesempatan yang lain.

Janganlah dibiarkan jiwa menjadi lemah kerana cinta. Tidak dinafikan cinta itu kadang2 datang tanpa diundang. Maka persiapkanlah diri dengan iman & ilmu secukupnya agar diri tidak hanyut dibuai angan & mimpi indah padahal semua itu langsung tidak menjanjikan kebahagiaan. 

Jika tersilap, perbaikilah diri dan ajaklah orang yang dicintai itu untuk kembali muhasabah. Binalah kembali cinta yang berasaskan cinta kepada Ilahi. Bercintalah dengan cara yang betul, bercintalah dengan sebab yang betul dan bercintalah dengan matlamat yang betul.

Saya mahu mengajak kita berfikir dan menilai cinta melalui kaca mata yang benar dan ini hanya dapat dilakukan melalui iman dan ilmu yang juga benar. Saya tidak ingin menghalang cinta yang berputik daripada berkembang mekar tetapi yang diingini adalah meletakkan cinta itu pada tempat yang benar dan hak. 

Jatuh cinta dan bercinta itu bukanlah satu kesalahan jika kena caranya. Bertanyalah kenapa kita bercinta? Untuk apa kita bercinta? Bagaimana kita bercinta? Persoalan2 ini menagih jawapan yang jujur. Semoga kita dapat menjadikan hak yang halal itu halal dan kekalkanlah hak yang haram itu haram.

Wallahua’lam bisshawab.

No comments:

Post a Comment