Friday, July 15, 2011

ISLAM ITU MEMUDAHKAN

Bismillahirrahmanirrahim
"Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang."

"Isu Pemakaian Purdah / Niqab".



PERSOALAN BUAT  MEREKA YANG MEMAKAI PURDAH :

1) Betul ke kalau kita pakai purdah, kita tak boleh makan di luar, contohnya di Restoran ke, di Gerai makan ke atau di Kantin dan sebagainya? Alasannya sebab, kalau makan di luar kita kena buka purdah kita, nanti lelaki ajnabi nampak pula wajah kita???

2) Bagi pelajar, bagaimana pula semasa nak present assigment dalam kelas contohnya, benar ke tidak boleh buka juga purdah kita ya? Hah, untuk guru-guru atau pensyarah pula, tak boleh buka purdah juga ke semasa nak mengajar???


3) Apakah boleh meletakkan gambar-gambar kita di laman-laman sosial, contohnya di facebook. gambar-gambar kita yang dahulunya tidak memakai purdah???

4) Lastly, persoalan BESAR buat saya.. Benarkah kalau sekali kita pakai purdah, kita memang tidak boleh langsung menampakkan wajah kita pada lelaki ajnabi???

InsyaAllah. Moga-moga dengan pengisian yang saya sampaikan di bawah ini, yang di ambil daripada sumber-sumber yang boleh di percayai, membolehkan persoalan-persoalan yang terngiang-ngiang di fikiran kalian akan terungkai juga sesudah selesai membaca 'POST' ini. InsyaAllah. Amin.. ^.^



Mukadimmah
     Sesungguhnya pemakaian purdah oleh para wanita Islam merupakan masalah khilafiyah iaitu sesuatu perkara yang menjadi perselisihan pendapat dan pertikaian di kalangan para ulama. Ulama berselisih pendapat tentang masalah ini sejak dahulu lagi dan perselisihan ini berterusan sehingga sekarang. Punca berlakunya perselisihan adalah kerana dalil-dalil yang berkaitan dengan masalah purdah ini tidak terdapat dalil-dalil yang putus dan jelas. Jadi para ulama menyatakan pendirian mereka berdasarkan pemahaman dan ijtihad masing-masing di dalam memahami nas-nas yang dikemukakan itu. Maka berlakulah di sana khilaf di kalangan para ulama di dalam menetapkan hukum memakai purdah terhadap wanita Islam. Perselisihan pendapat ini berpunca dari penafsiran ayat al-Quran al-Karim berikut :



Firman Allah Taala bermaksud:
Dan janganlah mereka mempe

Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka,
kecuali yang zahir daripadanya.
                                         (Surah al-Nur: Ayat 31).

 ISU PURDAH
     Isu purdah menjadi topik hangat pada waktu ini memandangkan beberapa surat khabar di Malaysia melaporkan bahawa Syeikh al-Azhar sekarang iaitu Syeikh Prof. Dr. Muhammad Sayyid Tantawi akan mengharamkan pemakaian purdah di institusi-institusi al-Azhar. Selepas berita ini disiarkan di dada-dada akhbar, beberapa orang ahli iLuvislam serta beberapa kenalan saya dari Malaysia telah meminta pandangan dan pengesahan dari saya mengenai isu ini. Ada di antara mereka yang meminta saya menulis satu artikel bagi menjelaskan secara terperinci mengenai isu purdah yang sedang panas diperkatakan ini. Memandangkan saya mempunyai sedikit masalah teknikal pada ketika itu, jadi saya tidak dapat memberikan jawapan kepada setiap persoalan yang dikemukan dengan panjang lebar. Di samping itu juga, berita sebenar dari beberapa dada-dada akhbar di Mesir belum saya terokai sepenuhnya memandangkan hanya akhbar al-Masr al-Yaum (terjemahan dari akhbar inilah yang dimasukkan di dada-dada akhbar di Malaysia) sahaja yang memaparkan berita itu.
     Bagi memberikan sedikit sumbangan saya kepada kefahaman umat Islam di Malaysia berkenaan isu purdah ini, di sini saya cuba menjelaskan isu ini secara ringkas agar semua pihak dapat mengambil manfaat. Saya berharap agar masalah khilafiyah ini dapat di tangani dengan baik tanpa menjejaskan kesatuan dan keharmonian umat Islam pada waktu ini. InsyaAllah. Semoga penerangan dan penjelasan ini juga akan membuka minda dan memberi peringatan kepada semua pihak terhadap kepentingan institusi ulama di dalam Islam.



PENGERTIAN PURDAH

Di dalam Bahasa Arab, purdah disebut sebagai niqab. Menurut Kamus Besar Arab-Melayu Dewan, purdah bermaksud kain penutup muka perempuan. Secara lazimnya, kain tersebut digunakan menutup sebahagian besar kawasan muka sesesorang perempuan itu melainkan matanya sahaja.

ADAKAH PURDAH ITU WAJIB @ TIDAK

Berdasarkan dalil al-Quran al-Karim dari surah al-Nur ayat 31 yang saya kemukakan di atas, sebilangan ulama berpendapat muka dan kedua-dua tangan adalah aurat iaitu dengan maksud mudahnya setiap perempuan Islam mesti memakai purdah. Sebilangan ulama lagi berpendapat muka dan kedua-dua tangan bukan dikategorikan sebagai aurat dan memakai purdah bukanlah suatu yang wajib. Di sini saya bentangkan pandangan mazhab-mazhab secara ringkas sahaja berkenaan aurat perempuan di hadapan bukan mahram bagi memudahkan kita memahami isu ini dengan sempurna. Saya tidak bercadang untuk meletakkan dalil-dalil yang digunapakai oleh mazhab-mazhab melainkan jika difikirkan perlu sahaja serta tidak saya nyatakan juga munaqasyah dalil-dalil bagi tidak memanjangkan perbahasan ini.

PENDAPAT JUMHUR ULAMA & PENDAPAT-PENDAPAT MENGIKUT MAZHAB

Jumhur Ulama :
Tidak wajib purdah dan mengharuskan pendedahan muka dan kedua-dua tangan di hadapan lelaki asing yang bukan mahram sekiranya aman dari fitnah.

Mazhab Hanafi :
Tidak harus lelaki melihat perempuan asing dan merdeka melainkan muka dan kedua-dua tangan sekiranya tidak dibimbangi mendatangkan syahwat. Adapun kedua-dua kaki juga bukan aurat.

Mazhab Maliki :
Aurat perempuan merdeka ketika bersama lelaki asing ialah seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan sekiranya tidak menimbulkan syahwat.

Mazhab Shafie :
Aurat perempuan yang merdeka adalah seluruh badannya melainkan muka dan kedua-dua tapak tangan sekiranya tidak menimbulkan fitnah. Pendapat lain mengatakan seluruh tubuh perempuan adalah aurat termasuk muka dan kedua-dua tangan.

Mazhab Hanbali :
Seluruh tubuh perempuan Islam adalah aurat. Pendapat lain mengatakan aurat perempuan di hadapan lelaki asing adalah suluruh tubuh kecuali muka dan kedua-dua tangan sekiranya tidak menimbulkan fitnah.

KESIMPULAN MENGIKUT PENDAPAT-PENDAPAT JUMHUR ULAMA & MAZHAB

     Pendapat jumhur ulama yang mengatakan aurat perempuan Islam adalah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan kedua-dua tangan selagimana tidak membawa kepada syahwat dan fitnah adalah lebih bertepatan berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan. Pendapat ini ditarjih oleh Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi sepertimana yang telah dinyatakan di dalam kitabnya bertajuk al-Niqab Limaraah dengan mengatakan juga memakai purdah tidak diwajibkan.
     Untuk mengetahui penjelasan lebih lanjut mengenai aurat perempuan Islam samada aurat ketika solat ataupun di luar solat silalah meneliti dan merujuk kitab al-Majmuk Syarah al-Muhazzab karangan Imam Nawawi. Pada saya, kitab ini adalah kitab paling baik di dalam membincangkan masalah fiqh kerana di sana dibentangkan pelbagai pandangan dan dalil-dalil secara teperinci dan jelas. Sebagai penuntut ilmu agama, kita hendaklah sentiasa melazimi pembacaan kitab-kitab karangan para ulama muktabar untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang sesuatu perkara itu.

BAGAIMANAKAH MENGHADAPI KHILAF ?

     Perkara ini selalu saya ulangi pada setiap tulisan saya yang terdapat khilaf di antara para ulama. Namun masih ada segelintir golongan masih tidak berlapang dada atau menerima nasihat ini dengan hati yang terbuka. Jadi di sini saya akan mengingatkan semula perkara ini agar kesatuan dan keharmonian umat Islam terus terjaga.

Kaedah Fiqhiyah menyatakan bermaksud:
Tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha.
Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati
oleh para ulama di atas pengharamannya.

(Lihat kitab: al-Asybah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin Al-Sayuti).

     Maksud kaedah ini (di atas) secara lebih jelasnya ialah kita tidak boleh menafikan, membantah atau menuduh orang lain adalah tidak betul atau salah kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat dalam perkara yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya jika dilihat fenomena hari ini terdapat segelintir golongan yang menyanggah dan menyalahi kaedah ini lantas menyalahkan orang lain yang tidak sependapat dengannya. Malah mereka hanya menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada ketika itu. Inilah di antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam di Malaysia khususnya semenjak sekian lama.

KONKLUSINYA ???

     Isu purdah ini hanyalah perkara khilafiyyah dan agak mustahil ia boleh mencapai kata sepakat daripada para ulama Islam sepanjang zaman. Perselisihan ini boleh dileraikan jika kita masing-masing boleh bertolak-ansur dengan mengutamakan sifat saling hormat-menghormati di antara satu sama lain. Inilah yang di jelaskan oleh Islam kepada pengganutnya. Di dalam mengangani isu pemakaian purdah ini secara baik, di sini saya simpulkan bahawa mana-mana perempuan Islam yang hendak memakai purdah maka kita tidak boleh menghalangnya atau mengejinya. Bagi sesiapa yang memilih untuk tidak memakai purdah pula maka kita juga tidak boleh menghalangnya atau mengejinya. Kedua-dua pihak adalah betul. Apa yang terlebih penting adalah :
Andai kita terdesak untuk membuka purdah yang kita pakai tu, buka sahaja lah. Allah itu kan Maha Mengetahui setiap apa yang hamba-hambaNya niatkan. J Isu ini sebenarnya, tidak seharusnya kita terlalu ‘HIGHLIGHTKAN’, kerna masih ada isu yang penting untuk kita ambil berat. Isu tentang... “Bagaimana pula dengan perempuan  Islam yang tidak menutup aurat?”.


Jadinya...
Buatlah apa sahaja, selagi kita YAKIN yang kita tidak melanggar syariat islam.
Betul tak kawan-kawan? Hee. ^.^

WALLAHU'ALLAM...

Andai ada tersalah taip, tersalah info mengenai apa yang di sampaikan di atas, mohon di perbetulkan. Terima Kasih buat mereka yang tidak pernah jemu-jemu memberi sokongan pada mereka-mereka yang berusaha dalam melakukan kebaikan. Alhamdulillah! Moga Allah memberkati kita semua. InsyaAllah. Amin.. ^.^